MELAKAR- MELAKAR SEJARAH NUSANTARA PERSOALAN DAN PENELITIAN: MELAKAR SEJARAH NUSANTARA PERSOALAN DAN PENELITIAN

Authors

MOHAMED ALI HANIFFA
ASSOCIATE PROFESSOR DR.

Synopsis

                                                                                                  Pendahuluan

Himpunan 12 artikel dalam buku ini menyoroti persoalan utama yang berlegar dalam kalangan akademia dan pelajar mengenai beberapa isu yang berada dalam persekitaran serumpun atau Nusantara. Artikel dalam buku ini dikelompokkan kepada beberapa tema dalam konteks serantau meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei. Rantau Asia Tenggara mempunyai kepelbagaian suku yang menyebabkan berlakunya penghijrahan sekitar Kepulauan Melayu dan membentuk satu komuniti yang tersendiri. Antaranya ialah suku Aceh, Jawa, Bugis, Minang, Banjar dan Kampar. Suku Aceh sememangnya terkenal dan menjadi antara perantau yang berjaya khususnya di negeri Kedah dan beberapa negeri lain di Malaysia. Kedah melakar sejarah tersendiri sehingga ke hari ini di mana mempunyai suku Aceh yang paling kuat jati dirinya. Komuniti tersebut menyumbang kepada sosioekonomi yang kukuh sehingga mempunyai jaringan di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang. Faktor agama Islam, pendidikan dan minat dalam perniagaan menjadikan mereka sebagai suku yang mempunyai taraf hidup yang tinggi di Malaysia. Hubungan solidariti yang utuh, tekad yang kuat untuk berjaya dan rajin berusaha menjadikan komuniti ini berjaya dalam hidup dalam menjawat jawatan yang tinggi dan pemilikan harta. Hasilnya mereka telah menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat yang makmur sejahtera. Keunikan perantau tersebut dibincangkan dalam Bab 1.

Menerusi Bab 2, perhatian akan diberikan kepada sikap masyarakat imigran terutamanya masyarakat India dan Cina dalam gelora politik di Tanah Melayu ketika itu. Perlu diakui bahawa hal ini bukanlah tidak pernah disentuh sebelum ini, namun satu aspek yang seringkali tertinggal dalam membicarakan hal ini adalah perkaitan serta perkembangan yang wujud di negara asal imigran tersebut dengan sikap yang mereka ambil di Tanah Melayu. Salah satu aspek yang agak penting dalam membincangkan mengenai sejarah kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 adalah mengenai sikap yang wujud dalam kalangan masyarakat imigran yang terdiri daripada kalangan orang India dan Cina.

          Haji Agus Salim adalah seorang tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia dan politikus yang terlibat dalam Parti Masyumi serta pernah menjawat jawatan Menteri Luar Indonesia semasa kabinet Amir Syarifuddin dan kabinet Hatta. Kecenderungan beliau dalam politik hingga melahirkan pemikiran politik-Islam dan anti penjajah adalah disebabkan penerimaan pendidikannya serta bangsanya yang dianiayai oleh penjajah. Hal yang demikian memberi impak kepada bangsa Jawa sehingga terpinggir dalam ekonomi, sosial dan pertanian. Pemikiran politik Islam beliau diteliti dalam perbincangan Bab 3.

Perang Dunia Kedua menjadikan Tanah Melayu menjadi lokasi unik yang menarik kedatangan kuasa-kuasa luar seperti Jepun. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 dan menyebabkan kesusahan hidup dalam kalangan penduduk. Salah satu isu kritikal yang dihadapi oleh penduduk ketika itu ialah mengenai catuan bahan makanan. Kekurangan bahan makanan ketika itu menyebabkan pihak pentadbiran tentera terpaksa mengadakan kempen penambahan bekalan makanan. Di samping itu, beberapa langkah juga dilaksanakan untuk memastikan pentadbiran tentera Jepun yang berperanan sebagai kuasa tadbir mempunyai kuasa dan pegangan yang kukuh dalam hal bekalan beras. Langkah monopoli jualan dan menguasai pemilikan kilang adalah antara langkah yang utama dilakukan. Penulisan dalam Bab 4 dalam buku ini membincangkan mengenai pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu dan kaitannya dengan bekalan beras khususnya di negeri Kedah.

Bab 5 pula membincangkan mengenai sejarah pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu yang mempunyai peranan signifikan dengan Alam Melayu. Kemasukan perantau dari Nusantara pada abad ke-19 turut membawa bersama budaya kehidupan yang berasimilasi dengan masyarakat tempatan. Hal yang demikian bertambah unik dengan kemasukan orang Cina dan India menjelang abad ke-19 sehingga membentuk pola masyarakat majmuk. Penjajahan dan Perang Dunia Kedua mencetus keruncingan hubungan kaum selepas pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu. Ketika Tanah Melayu berada dalam kancah kezaliman tentera Jepun dan komunis, golongan agamawan tempatan menjadi pemersatu dan sumber inspirasi dalam memanifestasikan fisabilillah menentang kezaliman komunis. Agenda membina dan menyuburkan kembali keharmonian kaum selepas Perang Dunia Kedua menjadi keutamaan. Kompromi dan Malayanising menjadi rencah utama sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Dalam membincangkan tema Melakar Sejarah Nusantara Persoalan dan Penelitian, idea nasionalisme Moro yang diperjuangkan oleh Nur Misuari, prinsip dan pemikirannya serta sejauh mana idealisme beliau berjaya mendapat sokongan daripada Bangsamoro sendiri dibincangkan dalam Bab 6. Kemunculan Nur Misuari sebagai pemimpin Bangsamoro yang berlatarbelakangkan dari keluarga yang miskin telah menguatkan lagi gerakan nasionalisme Moro. Nasionalisme Moro yang diperjuangkan oleh Misuari bukan sekadar usaha menuntut kemerdekaan daripada kerajaan pusat Filipina sahaja, tetapi juga menekankan kesatuan masyarakat bawahan dan kalangan marhaen yang sejak sekian lama dimanipulasi oleh golongan elit tradisional Muslim. Penulisan turut menyentuh mengenai sumbangan Misuari dalam MNLF dan pengaruhnya dalam organisasi Islam di peringkat antarabangsa seperti Organization of Islamic Conference (OIC). Usaha dan peranannya dianggap sebagai "diplomat" masyarakat Islam Filipina di persada antarabangsa bagi menuntut keadilan yang selama ini telah diabaikan oleh kerajaan pusat Filipina.

Keiltizaman orang Melayu Islam dalam mengerjakan Rukun Islam Kelima iaitu haji tidak dapat disangkal lagi. Walau bagaimanapun, dalam penulisan sejarah negara kesukaran memperoleh sumber-sumber primer tentang isu-isu berkaitan sejarah dan warisan haji membataskan penulisan mengenai perkara yang sangat penting ini. Inventori sejarah dan warisan haji wajar dibangunkan bagi mengetengahkan kepentingan sejarah dan warisan haji serta meneroka dan meneliti sejarah warisan bangsa yang tidak ternilai ini. Penelitian ini sangat signifikan bagi memastikan kelestarian sejarah dan warisan haji yang merupakan khazanah warisan bangsa serta negara agar dapat terus dipelihara, dihayati dan dimanfaatkan serta menonjolkan keunikan warisan bangsa. Hal yang demikian dibincangkan oleh penulis dalam Bab 7.

Dalam Bab 8 membincangkan penglibatan Nik Abdul Aziz dalam politik-Islam melalui pentadbiran dan pandangan penulisan tempatan berkaitan riwayat, keperibadian, pemikiran politik Islam, sistem pentadbiran dan sumbangan beliau semasa memegang tampuk pentadbiran sebagai Menteri Besar Kelantan dari tahun 1990 hingga 2015. Menerusi karya ini, menyorot pandangan para penulis tanah air tentang pemikiran politik-Islam beliau yang dimulai dengan riwayat hidup sebagai pendakwah atau ulama, ahli politik dan pentadbir negeri di sebuah negeri pembangkang itu di Malaysia. Beliau merupakan bekas Menteri Besar Kelantan yang amat berpengaruh, bukan sahaja di negerinya malah di Malaysia dan juga dunia Islam sehingga dikatakan ulama pertama memegang jawatan Menteri Besar.

Tun V.T. Sambanthan merupakan tokoh yang disanjung tinggi oleh masyarakat India Tanah Melayu. Beliau dianggap wira dalam mengatasi masalah kemiskinan golongan itu. Sikap beliau yang sederhana, murah hati dan kesanggupan beliau membantu masyarakat India telah menjadikannya seorang pemimpin India di Tanah Melayu. Sambanthan seringkali menyeru masyarakat India agar mendapatkan pendidikan untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Sambanthan menjadikan Mahatma Gandhi sebagai idolanya dalam gerakan membantu kaum India. Pemikiran dan sumbangan tokoh India ini dipaparkan dalam Bab 9.

Sebuah penulisan agak menarik terdapat di dalam Bab 10. Artikel dalam bab ini membincangkan Sejarah perundangan Islam di Brunei Darussalam. Penulis membicarakan perihal undang-undang Islam yang mampu memberikan pengajaran dan seterusnya mencegah daripada kejadian jenayah berlaku secara berleluasa. Kesan dari hukuman seperti ini sudah tentu akan mewujudkan sebuah negara yang aman damai. Penelitian awal pemikiran tentang Undang-undang Islam Negara Brunei Darussalam melalui Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah oleh pemikiran Haji Awang Abdul Aziz bin Juned diperincikan dengan baik oleh penulis.

Seterusnya dalam Bab 11, sebuah lagi penulisan berkaitan sejarah Brunei yang berkaitan penolakan negara Melayu Islam itu dalam Gagasan Malaysia antara tahun-tahun 1961 hingga 1963. Brunei sejak dari awal lagi tidak bersetuju dengan rancangan British untuk menyatukan Brunei, Sarawak dan Sabah, kerana dasar ini hanya bertujuan untuk meringankan kewangan British seperti mana yang berlaku ke atas Negeri-Negeri Melayu Besekutu pada tahun 1896 yang digunakan untuk menyelesaikan masalah kewangan negeri-negeri yang kurang maju.

Bab 12 merupakan bahagian terakhir yang membincangkan mengenai isu candu yang timbul apabila berlaku kemasukan buruh Cina secara ramai ke Tanah Melayu berikutan keperluan ekonomi. Sistem Pajakan Hasil Candu untuk menguruskan hasil candu secara sistematik telah diperkenalkan oleh British apabila mereka melihatnya sebagai satu sumber pendapatan. Keadaan ini berterusan sehinggalah tabiat mencandu mula dilihat sebagai satu masalah sosial yang perlu dibendung sekitar awal abad ke-20. Gerakan anti-candu mula digerakkan bagi menangani masalah ketagihan candu dalam kalangan orang Cina berpendapatan rendah, khasnya buruh lombong bijih timah. Gerakan anti candu memberi kesan positif terhadap langkah-langkah baharu dalam usaha menyekat penularan tabiat mencandu.

Artikel yang dimuatkan dalam buku ini bertujuan bagi memperihalkan persoalan dan penelitian sejarah yang berlaku dalam lingkungan Nusantara. Pemahaman terhadap persoalan yang berlaku dalam konteks Nusantara amat penting kerana dapat memberikan pemahaman terhadap persoalan sejarah yang berlaku pada waktu itu dan mencorakkan masyarakat pada masa kini. Artikel yang dihasilkan ini merupakan kajian yang dilakukan oleh para sarjana dengan merujuk pelbagai bahan primer dan sekunder dengan matlamat supaya kajian yang dilakukan boleh dinikmati oleh khalayak yang lebih ramai.

Persoalan dan isu yang dilakarkan sarat dengan pendekatan yang “membumi” iaitu gaya bahasa akademik yang digunakan berupaya memberikan impak dalam mengangkat penulisan ini sebagai naskah suntingan yang menarik. Penulisan setiap bab tersebut disemak silang agar maklumat dan data yang dipersembahkan berupaya menjadi pemangkin dan perintis kepada penulisan yang akan datang

Published

6 January 2026
Share |