Penghayatan etika dan peradaban: Menerajui wawasan Malaysia maju.
Synopsis
Karya ini dihasilkan bagi memenuhi arahan Kementerian Pengajian Tinggi bagi melaksanakan satu kursus untuk meningkatkan penghayatan etika dan peradaban (ketamadunan) mengikut acuan atau pengalaman sejarah dan sosial Malaysia. Selain itu, persekitaran negara dan global yang semakin berkembang dan senantiasa ada perubahannya dari masa ke semasa menuntut setiap warganegara terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi daripada peringkat sijil sehingga ijazah pertama menerapkan nilai-nilai dan pengalaman etika dan peradaban Malaysia dalam setiap aspek kehidupan mereka bagi memastikan Malaysia terus lestari dan maju.
Kandungan buku ini dimulakan dengan penghayatan konsep etika berdasarkan susur masa iaitu pada zaman pra-kolonial, kolonial dan pasca kolonial mengenai etika tradisional di negara ini (iaitu adab, adat resam dan adat istiadat) dan etika moden yang dibawa oleh kolonial (iaitu etika, etos dan etiket) serta bagaimana gabungan konsep ini telah mendarah daging dalam kefahaman dan kehidupan kita di Malaysia pada masa sekarang. Keunikan etika dan peradaban di Malaysia ini terserlah berbanding dengan negara-negara lain dengan semua etnik secara umumnya dapat memahami dan menghayati walaupun tidak secara menyeluruh. Antara buktinya ialah walaupun pergolakan berlaku antara etnik di Malaysia namun ianya tidaklah sampai kepada tahap yang sangat membimbangkan seperti di negara-negara lain.
Dalam pada itu juga, kerajaan telah merancang dan memperkenalkan pelbagai usaha bagi mewujudkan kesepaduan nasional dalam kalangan etnik dengan memperkenalkan dasar-dasar dan langkah-langkah yang membolehkan matlamat yang diidamkan iaitu perpaduan menjadi suatu kenyataan dengan pengukuran perpaduan di Malaysia dipanggil Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) yang telah dibangunkan oleh negara kita sendiri.
Justeru kelestarian etika dan peradaban manusia harus dikekalkan supaya hakisan sosial tidak berlaku terutama kepesatan pembangunan ekonomi yang tidak diseimbang. Oleh itu konsep kemiskinan bersama (shared poverty) perlu dimangkin oleh kesejahteraan bersama (shared prosperity) merangkumi kesepaduan nasional. Justeru, kita perlu memperkukuh etika dan peradaban untuk mengembangkan ruang sivik pembangunan negara bangsa dalam konteks antarabangsa.