PERUBAHAN MEDIA DAN TSUNAMI POLITIK MALAYSIA

Authors

Mumtaz Aini Alivi
019-9973966

Synopsis

Media memainkan peranan utama dalam mencorak proses demokrasi di dalam sesebuah negara dengan menyalurkan maklumat  penting kepada rakyat. Buku ini memaparkan pengaruh media dalam mencorak pemikiran rakyat yang membentuk keputusan pengundian mereka di dalam pilihan raya. Kepentingan mempunyai literasi media, literasi politik, peranan media dalam proses demokrasi negara dan penentuan agenda di dalam media adalah antara kupasan di dalam buku ini. Turut dibincangkan, mengenai faktor penting pada masa kini, iaitu pengaruh media baharu yang telah memberikan impak yang besar untuk mempengaruhi keputusan rakyat dalam menentukan hala tuju politik negara sejak kebelakangan ini. Isu-isu yang dimainkan oleh media baharu yang lebih bebas melaporkan berita berbanding media tradisional menyebabkan medium berkenaan menjadi popular sebagai sumber maklumat utama rakyat Malaysia pada masa kini. Paparan informasi dan ketelusan media baharu dalam melaporkan berita menyebabkan rakyat mengetahui kepincangan yang berlaku di dalam kerajaan. Sebahagian daripada kandungan buku ini diambil daripada kajian Ph.D penulis sendiri, dan dapatan kajian adalah berdasarkan analisis yang telah dilakukan. Informasi ini perlu disampaikan kepada khalayak sasaran di dalam konteks yang mudah difahami oleh kelompok sasaran iaitu kerajaan, parti politik, organisasi media, pelajar media, pelajar komunikasi politik dan juga orang awam. Kajian yang dilakukan membuktikan bahawa media baharu amat mempengaruhi keputusan pengundi untuk menilai parti politik ataupun wakil rakyat yang mereka akan undi sebagai pilihan. Ini terbukti apabila berlaku tsunami politik dalam negara yang mengejut apabila berlaku perubahan pemerintahan yang didominasi oleh Barisan Nasional sejak kemerdekaan di dalam pilihan raya umum pada tahun 2018 yang bertukar kepada parti Pakatan Harapan. Iklim politik negara terus bergolak sejak daripada itu apabila berlaku pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dengan pertukaran tiga orang perdana menteri di dalam satu penggal yang sama sebelum pilihan raya umum tahun 2022. Belum pernah terpateri di dalam sejarah, politik negara menjadi serapuh itu. Dimensi politik terkini sejak PRU-15 turut dibincangkan di dalam buku ini.

 

Published

4 March 2026

Series

Share |