A AKUAPONIK : PANDUAN PEMASANGAN, PENTERNAKAN & PENJAGAAN
Synopsis
Buku ini disediakan untuk memberi panduan kepada pembaca yang berminat untuk mencuba teknik akuaponik. Akuaponik merupakan satu sistem penghasilan makanan yang lestari dan dapat menghasil dua produk makanan utama iaitu ikan dan juga sayuran. Sebelum sistem akuponik ini dapat dilaksanakan, pembaca perlu mengenali konsep asas sistem akuaponik itu sendiri. Konsep asas bagaimana akuaponik itu berfungsi perlu diterangkan dengan lebih lanjut dalam memastikan sistem dapat berfungsi dengan baik. Selain itu, jenis-jenis rekabentuk akuaponik juga diterangkan secara ringkas bagi memberi sedikit gambaran kepada pembaca. Selanjutnya perkaitan akuaponik dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dibincangkan. Setelah mengenali sistem asas akuaponik, peralatan yang digunakan untuk menyediakan sistem akuaponik yang lengkap juga diterangkan dengan lebih lanjut. Pelbagai jenis peralatan penting yang diperlukan dalam merekabentuk sistem akuaponik diterangkan dalam buku ini. Ukuran dan sistem penyambungan yang diterangkan akan membantu pembaca untuk membuat sendiri sistem akuaponik yang bersesuaian. Fungsi setiap bahagian dalam sistem ini juga diterangkan dengan jelas. Fungsi-fungsi bahagian utama akuaponik adalah penting untuk difahami agar pembaca mendapat gambaran yang jelas tentang keseluruhan sistem ini. Dengan penghasilan sistem akuaponik yang lengkap akan dapat menghasilkan produk makanan yang diinginkan. Oleh itu asas penjagaan dan pemuliharaan ikan dalam tangki fiber juga perlu dititikberatkan. Penjagaan ikan yang betul akan dapat menghasilkan nutrien yang penting dalam tumbuhbesaran sayuran. Buku ini juga membincangkan kaedah penanaman akuaponik secara terperinci bermula daripada proses pemilihan biji benih dan cara penjagaan sayuran sehinggalah proses penuaian hasil. Sistem akuaponik memerlukan sumber tenaga yang cekap dapat memastikan sistem berfungsi dengan baik. Teknik penghasilan dan asas penggunaan tenaga solar diterangkan dengan lengkap dalam buku ini. Penggunaan sistem solar dapat melestarikan sistem ini. Penggunaan sistem solar yang lengkap akan dapat membantu menjimatkan kos operasi sistem akuaponik. Senarai peralatan dan pengiraan tenaga yang diperlukan dalam sistem juga diterangkan sebara terperinci. Selain penggunaan sistem solar buku ini juga membincangkan tentang peranti yang bersesuaian untuk dipasang kepada sistem akuaponik ini. Pemantauan kondisi sistem akuaponik menggunakan peranti yang bersesuaian akan dapat memastikan penghasilan produk makanan yang optimum. Penghasilan produk makanan dari sistem akuaponik perlu diuruskan dengan betul untuk memastikan pulangan hasil dalam bentuk kewangan kepada pengamal akuaponik. Pembentukan model matematik perniagaan seperti kos, hasil dan untung bagi memberi pendedahan awal tentang pemasaran akuaponik juga turut diterangkan menggunakan contoh yang bersesuaian bagi memastikan pembaca memahami konsep asas pengurusan kewangan hasil dari sistem akuaponik. Selain itu, pembaca akan mendapat pengalaman untuk membentuk model matematik berdasarkan aktiviti yang diberikan. Akhir kata, projek akuaponik mempunyai nilai komersial yang tinggi melalui teknik sistematik dan efisyen. Pelbagai tips dan juga cara terbaik diketengahkan dalam buku ini.
Chapters
-
AKUAPONIK DAN STEM
-
PROSES MEMBINA SISTEM AKUAPONIK
-
ASAS PENJAGAAN ANAK IKAN DAN PENANAMAN SAYURA
-
Penggunaan tenaga untuk akuaponik dan teknik pertanian pintar (Smart farming)
-
PENGURUSAN AKUAPONIK
-
PENGALAMAN DAN KEJAYAAN