KONSEP DAN PENGURUSAN EFEKTIF TADBIR URUS KORPORAT
Synopsis
Konsep tadbir urus baik korporat (Good Corporate Governance) telah menjadi fokus paling penting dalam sistem pengurusan organisasi kini sehinggakan usaha konsep ini telah cuba diterapkan dalam sektor awam. Malah banyak organisasi komersial di seluruh dunia telah mengadaptasi konsep tadbir urus ini dan telah memberikan impak positif yang besar. Tujuan konsep tadbir urus baik adalah menjurus kepada pembangunan nilai telus, jujur, amanah dan kebertanggungjawaban. Nilai-nilai ini telah terbukti memberi impak positif yang besar kepada kestabilan pelaburan, kewangan, perniagaan, perkhidmatan, seterusnya menyokong kekuatan prestasi organisasi.
Pembangunan nilai-nilai etika dan integriti dalam tadbir urus baik korporat dilihat amat penting memandangkan nilai-nilai ini berupaya melindungi organisasi daripada aktiviti-aktiviti salah laku, rasuah dan fraud. Aktiviti-aktiviti inilah sebenarnya yang boleh menggangu dan mengancam pengoperasian organisasi dalam mencapai objektif dan matlamat yang telah dirangka.
Tadbir urus baik sememangnya adalah perlu dan penting dalam konteks pengurusan terkini lebih-lebih lagi dengan penguatkuasaan undang-undang corporate criminal liability (Tanggungan Jenayah Korporat) di banyak negara di Eropah dan Asia. Impak kepada penguatkuasaan undang-undang ini boleh menjejaskan reputasi dan juga pengoperasian organisasi komersial.
Kandungan dalam buku memperlihat serta mengupas konsep-konsep asas tadbir urus dalam organisasi khususnya sektor korporat, dan strategi atau kaedah pengurusan efektif dalam dalam proses tadbir urus baik organisasi.