FALSAFAH BUDI MELAYU MENURUT ZA'BA (1895-1973) DAN SYED HUSSEIN ALATAS (1928-2007)

Authors

KHAIRIAH MOHD YASSIN
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM CAS, Universiti Utara Malaysia

Synopsis

Budi merupakan suatu cerminan keluhuran dan keperibadian bangsa. Namun isu falsafah budi sebagai suatu perlambangan bangsa terkhas Melayu semakin terhakis dan terus dipinggirkan oleh generasi kini. Ini dibuktikan melalui tingkah laku generasi Melayu kini yang semakin merosak seolah-olah kehilangan identiti dan jati diri sebenar mereka akibat daripada pengaruh globalisasi ataupun pelbagai penularan pemikiran yang bertentangan dengan warisan budaya Melayu. Justeru, penulisan seumpama ini diketengahkan dalam merungkai falsafah budi Melayu dari  sudut pandang Za’ba (1895-1973) dan Syed Hussein Alatas (1928-2007). Penulisan berasaskan objektif berikut: (i) mengkaji konsep serta interpretasi istilah budi dari sudut terminologi dan falsafah, (ii) mengenal pasti ketokohan dan keperibadian Za’ba dan Alatas sebagai pemikir Melayu terkemuka, (iii) meneliti konsep dan falsafah budi Melayu dari perspektif Za’ba dan Alatas, dan (iv) menganalisis perbezaan dan persamaan yang wujud dalam pemikiran budi tokoh, dan (v) merumuskan gagasan falsafah budi Melayu dalam konteks pembangunan intelektual di Malaysia. Pemikiran Za’ba dan Alatas dipilih sebagai fokus utama penulisan berasaskan sumbangan intelektual mereka yang dinilai bermanfaat terhadap pembangunan anak bangsa dan negara. Dapatan utama penulisan ini memperolehi bahawa budi dari sudut konsep dan falsafah merupakan suatu entiti bermakna bagi bangsa Melayu. Asasnya ialah bangsa Melayu dikenali sebagai orang yang berbudi, mengamalkan budi, bertanam budi serta mendarah dagingkan budi dalam kehidupan mereka dari dahulu sehingga kini. Implikasi penulisan ini dinilai penting terhadap gagasan pengukuhan budi Melayu seterusnya melancarkan proses pembangunan intelektual negara.

 

Published

4 June 2026

Series

Share |